Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger



7 PERINGKAT SOLAT



Apakah sembahyang yang kita lakukan sejak baligh sehingga ke hari ini diterima Allah? Pernahkan kita menganalisa, sejauh manakah kita khusyuk di dalam sembahyang, kerana khusyuk merupakan salah satu syarat untuk sembahyang itu diterima Allah. 


Bagi orang-orang yang soleh dan solehah, mereka sangat mengambil berat tentang sembahyang. Sekiranya pekerjaan seharian terganggu, atau tiada kelancaran semasa bekerja, perkara pertama yang dilakukan ialah memeriksa semula sejauh mana khusyuknya mereka dalam sembahyang. Ini adalah kerana sembahyang merupakan hubungan manusia dengan Allah. 
Sekiranya hubungan dengan Allah pun tidak selesai, dengan manusia tentunya lebih susah lagi. Seterusnya, ketaatan kepada pemimpin tidak akan berlaku sekiranya tiada ketaatan kepada Tuhan. Sembahyang perlu dinilai dari segi berjemaah atau tidak, tepat pada waktunya ataupun tidak, khusyuk atau tidak dan kelurusan saf di dalam sembahyang. Untuk menilai sembahyang kita, mari kita bersama-sama meneliti peringkat-peringkat sembahyang berikut. Dalam golongan manakah kita dikategorikan.

Sembahyang Orang Jahil 
Sembahyang seseorang yang tidak faham tentang rukun sembahyang, syarat wajib sembahyang, syarat sah sembahyang, persoalan suci dari hadas kecil dan hadas besar dan sebagainya. Sekalipun sembahyang itu kemas, tepat pada waktunya dan berjemaah, tetap tertolak kerana dilakukan tanpa ada ilmu.

Sembahyang Orang Lalai 
Pada zahirnya adalah lengkap. Ini kerana sebelum sembahyang itu dikerjakan, ilmu mengenainya sudah dipelajari. Bacaan dalam sembahyang dijaga betul. Tapi fikiran orang orang yang bersembahyang itu melayang, memikirkan perkara lain, tidak menghayati embahyangnya. Sedangkan khusyuk dalam sembahyang merangkumi khusyuk, akal, hati dan perbuatan. Golongan inilah yang dikatakan lalai di dalam sembahyang sepertimana firman Allah:
"Sebab itu, celakalah bagi orang-orang yang bersembahyang dan mereka lalai dari embahyangnya." Surah Al-Ma'un, Ayat 3 dan 4. 
Mereka ini akan Allah masukkan ke dalam Neraka Wail. Sembahyang Kerana Selain Allah Sembahyang yang dilakukan kerana adat dan budaya. Mungkin seseorang itu lahir dalam suasana Islam. Sejak kecil dia melihat orang sekelilingnya sembahyang, lantas dia pun sembahyang. Ini bermakna sembahyangnya bukan kerana syariat tapi kerana takut dimarahi ibu bapa, takut tersisih dan sebagainya. Sembahyang bagi golongan ini juga tertolak.

Sembahyang Peringkat Mujahadah 
Golongan yang sembahyangnya diperingkat ini pula, mereka memiliki ilmu tentang sembahyang dan berusaha menghayati sembahyangnya. Mereka ada kesungguhan tetapi jiwa tidak hidup. akal sudah berperanan, tetapi hati belum dapat dibawa bersama di dalam sembahyangnya. Bahkan di dalam sembahyang, mereka bermujahadah untuk mendapatkan rasa khusyuk. Allah sayang pada orang yang bermujahadah. Allah menerima sembahyang golongan ini setakat yang mereka khusyuk sahaja. Walau bagaimanapun, mereka masih belum tentu selamat. Terpulanglah kepada Allah menentukannya. Kalau dengan rahmat Allah, Dia hendak mengampunkan dosa hambaNya, Dia ampunkan. Kalau Dia hendak siksapun, itu adalah hakNya sebagai Tuhan.

Sembahyang Orang Soleh 
Diperingkat sembahyang ini, akal fikiran sudah boleh ditumpukan supaya khusyuk kepada Tuhan di dalam sembahyangnya tetapi jiwa dan hati belum sepenuhnya dikawal. Akal sudah boleh disibukkan dengan mengingatkan makna-makna bacaan dan pergerakan sembahyang. Golongan ini sudah tidak lalai dalam sembahyang. Untuk sembahyang kita diterima, kita sekurang-kurangnya berada diperingkat ini. Ia peringkat paling minimum.

Sembahyang Para Wali 
Di peringkat sembahyang para wali, akal, hati dan fizikal telah dapat dikawal. Golongan ini sudah dapat menghayati sembahyang. Apabila menyebut Alhamdulillah, hati terasa bersyukur dan akal memahaminya. Bila berdiri tegak, dia dapat merasakan bahawa dirinya sedang menghadap Tuhan. Bila bertasbih, terasa dirinya kerdil dan hina di hadapan Tuhan yang Maha Agung. Bila berdoa, hati sentiasa rasa mengharap. Sembahyang beginilah yang melahirkan rasa kehambaan. Bahkan dapat merasakan kelazatan di dalam sembahyang. 

Sembahyang Para Nabi-nabi dan Rasul-rasul 
Golongan ini terlalu khusyuk sembahyangnya, dengan lain perkataan 'fana' dengan Allah. Roh mereka sampai ke alam yang tinggi. Sifat-sifat Allah dihayati sungguh-sungguh. Bahkan mereka boleh sampai ke alam malakut.  Begitulah di antara beberapa peringkat sembahyang yang 
boleh kita kategorikan. Sembahyang yang dapat dihayati sungguh-sungguh akan dapat memberikan kesan kepada orang yang melakukannya. Sebaliknya rugilah mereka yang lalai di dalam sembahyang. Sembahyang mereka seperti patuk ayam yang tidak tahu makna apa-apa tentang sembahyangnya. 

Petua Khusyuk Dalam Solat 
Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t yang bermaksud "Telah berjayalah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya?
[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2].
 Firman-Nya lagi "Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238] dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.Firman Allah lagi yang bermaksud :
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5] 
  
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya." Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam              
sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." Hadis lain dari Rasulullah s.a.w.
"Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang". serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan". Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang: 

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah. 
  
2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik. 
   
3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu upaya tidak gopoh apakala masa hampir luput. 
   
4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya. 

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu. 

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah. 

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita. 
   
8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat. 

9.Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat. 
   
10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran. 

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah. 
   
12. Mengambil wuduk dengan sempurna. 
   
13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari. 
   
14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja. 
   
15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah. 

Walau apapun syarat khusyuk yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. 
   
Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati." 
   
Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud: "Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].